Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
- Mohd Noor Abdul Hamid
- Oct 16, 2015
- 3 min read

Bersempena cuti Maal Hijrah yang lalu, saya telah berkesempatan menonton teater 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck' (TKVDW) di Istana Budaya Kuala Lumpur. Teater ini diinspirasikan saripada novel tulisan Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka yang diterbitkan pada tahun 1938.
Secara ringkasnya, TKVDW mengisahkan persoalan adat yang berlaku di Minangkabau dan perbezaan latar belakang sosial yang menghalangi hubungan cinta sepasang kekasih hingga berakhir dengan kematian. Zainuddin (lakonan Amar Baharin) anak yatim piatu yang lahir daripada golongan miskin, telah pergi ke Minangkabau iaitu tempat asal ayahnya. Namun kedatangannya tidak mendapat sambutan baik di tengah-tengah struktur masyarakat yang bernasabkan kepada ibu itu. Dia dianggap tidak mempunyai pertalian darah dengan keluarganya di Minangkabau meskipun berayah Minang, sedangkan ibunya berketurunan Bugis. Semasa di Minangkabau, Zainuddin telah berkenalan dan jatuh hari kepada Hayati (lakonan Nabi Huda). Oleh kerana khuatir akan hubungan Zainuddin dan Hayati yang semakin akrab dan menjadi buah mulut orang ramai, Zainuddin dihalau keluar dari Minangkabau.
Meskipun terpaksa berpisah, Hayati telah bersumpah bahawa Zainuddin akan tetap menjadi kekasihnya walau apa pun yang terjadi. Demi menjaga adat dan keturunan mereka, keluarga Hayati telah menjodohkan Hayati dengan Aziz (lakonan Karl Syafiq). Walaupun tidak rela, Hayati tetap tidak mampu membantah kehendak keluarganya dan meminta Zainuddin melupakan sumpahnya. Zainuddin yang kecewa telah merantau dan berjaya menjadi penulis terkenal.

Oleh kerana sikapnya yang kaki judi dan pemabuk, Aziz akhirnya telah jatuh miskin apabila hartanya semua dirampas. Aziz terpaksa memohon bantuan dan membawa Hayati tinggal di rumah Zainuddin. Oleh kerana malu dengan keadaannya, Aziz akhirnya bertindak membunuh diri. Sebelum membunuh diri, Aziz telah menulis surat supaya Zainuddin menjaga Hayati. Namun, Zainuddin yang masih kecewa kerana Hayati telah melanggar janji untuk setia telah memaksa Hayati pulang ke kampung dengan menaiki kapal Van der Wijck. Malangnya, ketika dalam perjalanan kapal tersebut telah tenggelam.
Sebelum menontont teater ini, saya telah pun membaca novel dan menonton filem TKVDW arahan Sunil Soraya yang diterbitkan pada 2013. Teater arahan Azhar Zainal ini saya rasakan telah berjaya mengadaptasi novel ini dengan agak berkesan. Dari segi lakonan, Nabila Huda seperti saya jangkakan berjaya membawa watak beliau dengan begitu berkesan. Seorang lagi pelakon yang saya kagumi lakonan beliau setelah menonton teater ini adalah Amyra Rosli yang membawakan watak kawan baik kepada Hayati yang juga adik kepada Aziz. Lakonan beliau kelihatan begitu natural terutamanya ketika mengungkapkan dialog dalam bahasa Indonesia.
Teater ini dibahagikan kepada dua bahagian. Secara jujurnya saya agak bosan pada bahagian pertama. Berkemungkinan kerana saya telah menonton kisah ini dalam versi filem dan mengharapkan sedikit kelainan dari segi garapan dalam bentuk teater. Namun persamaan dari segi lakonan, babak dan dialog antara versi teater dan filem agak ketara.
Dua babak yang saya rasakan amat berkesan di dalam teater ini antaranya ialah:
1. Babak perpisahan antara Zainuddin dan Hayati semasa Zainuddin dihalau dari Minangkabau.
2. Babak semasa Hayati di atas kapal van der Wijck di saat kapal itu sedang karam dan surat beliau yang terakhir kepada Zainuddin dibacakan -- ramai juga penonton dibelakang saya yang teresak-esak ketika ini. Dan saya rasakan cara pengarah mengolah babak penumpang-penumpang jatuh ke dalam laut sangat berkesan, genius dan artistik. Terutama sekali semasa jasad Hayati terapung di dalam lautan.
Saya agak kecewa kerana lagu runut bunyi filem TKWDW iaitu 'Sumpah dan Cinta Matiku' nyanyian tidak digunakan di dalam teater ini. Saya pasti kepada yang sudah menonton filem TKVDW menantikan lagu tersebut dan ianya pasti lebih membangkitkan emosi penonton.
Secara keseluruhannya saya rasa teater ini boleh dianggap berjaya. (3.5/5 bintang)
Untuk ulasan lain dari Astro Awani - klik DISINI
Comments